KUALA LUMPUR: Dua lagi polis berpangkat Inspektor dan Sarjan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta.

Ini menjadikan keseluruhan lima polis termasuk seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP) ditahan berhubung kes itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek lelaki berpangkat Inspektor dan wanita berpangkat Sarjan itu ditahan di sekitar ibu negara pada Jumaat.

"Kita reman kedua-dua suspek empat hari sehingga Selasa ini (7 Mei)," katanya dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, selain pegawai polis berpangkat ACP, polis turut menahan masing-masing seorang berpangkat Deputi Superitendan dan Inspektor berusia 38 hingga 50 tahun.

Kesemua suspek yang itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu bertugas di sekitar ibu negara.

Kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sehubungan itu, Razarudin sebelum ini meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kerana kes itu masih lagi dalam siasatan.